Masyarakat Cina sememangnya begitu terkenal dengan kehebatan mereka dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Bukan hanya masyarakat Cina di negara kita, malah boleh dikatakan hampir di seluruh dunia kita dapat melihat masyarakat Cina memonopoli bidang perniagaan. Produk-produk yang terdapat di pasaran hari ini juga kebanyakkannya datang dari negara Tembok Besar itu termasuklah barang-barang keperluan rumah, tekstil dan pakaian, serta peralatan-peralatan IT terkini. Mereka juga mampu untuk menjadikan sesuatu perniagaan yang bermula hanya dengan kecil-kecilan menjadi lebih maju dan luas. Pendek kata, keistimewaan kaum Cina ini adalah daripada aspek strategi mereka menjalankan perniagaan tersebut. Hal ini turut menjadikan kaum Cina dipandang begitu tinggi kerana mereka mempunyai kemahiran yang tersendiri dalam menjalankan sesuatu perniagaan yang mereka ceburi.
Apabila dikaji secara mendalam, apa yang dapat dirumuskan adalah kemahiran dalam perniagaan atau bisnes bukanlah suatu keistimewaan yang hanya boleh didapati bagi sesuatu kaum. Tetapi kemahiran tersebut sememangnya boleh dipelajari.
Pegangan Masyarakat Cina dalam Perniagaan
Masyarakat Cina mempunyai pegangan yang tersendiri dalam usaha memajukan perniagaan mereka. Pegangan mereka ini begitu kuat sehingga mereka akan cuba melaksanakan segala apa yang termampu untuk mendapatkan hasil yang lebih baik dalam bisnes yang dijalankan. Berikut merupakan tujuh pegangan masyarakat Cina dalam aspek bisnes atau perniagaan :
- Rajin, jika tidak berniaga akan menjadi malas
- Jimat, jika tidak akan membazir modal
- Senyuman dengan pelanggan, jika tidak pelanggan akan lari
- Kejar masa, jika tidak peluang akan diambil orang
- Harga berpatutan, sekiranya tidak mungkin akan menimbulkan pergaduhan
- Membenarkan hutang hanya dengan orang yang dikenali, jika tidak modal akan hilang
- Semak akaun setiap hari untuk pastikan modal bagi hari esokKetujuh-tujuh ini juga merupakan peribahasa masyarakat Cina tentang perniagaan dan bisnes. Sekiranya kita meneliti ketujuh-tujuh aspek ini, dapat disimpulkan bahawa sikap menjadi kunci utama kejayaan mereka dalam perniagaan. Sikap yang baik, tekun dan gigih merupakan asas kepada rahsia kejayaan mereka selama ini.